Pages

Tuesday, April 19, 2011

Jangan Bunuh Potensi Anak Muda!

Ucapan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sewaktu membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Saya memulakan ucapan dengan membaca sepotong ayat Al-Quran, maksudnya, "Mereka adalah orang-orang yang diberikan peluang berkuasa di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, mengajak manusia kepada yang makruf, mencegah kemungkaran dan kepada Allah lah kembalinya segala urusan".

Saya juga mengambil kesempatan Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang saya rasa telah menyentuh tentang perkara-perkara penting yang menjadi teras kepada kekuatan negara ini dan menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara ini walau apa pun, walau bertukar kerajaan sekali pun perlembagaannya, kekuatannya akan tetap utuh dan memastikan rakyat supaya jangan bimbang kerana demokrasi ini mengizinkan peralihan kuasa, mengizinkan rakyat memberikan mandat kepada sesiapa pun.

Yang pentingnya mereka yang diberikan kekuasaan itu jujur dan amanah untuk memikul beban amanah ini yang dipertanggungjawabkan kepada kita, dunia dan akhirat.

Antara Titah yang penting yang saya ingin kekalkan dalam ucapan saya adalah tentang keselamatan negara, tentang justice dan keadilan, dan juga tentang kekuatan yang harus dibina kepada orang-orang muda dalam negara kita. Saya hendak ucap tahniah kepada rakan saya daripada Pengerang. Walaupun kita berbeza parti tetapi dalam aspek untuk beliau menyatakan tentang orang muda dan juga tentang bagaimana kita melihat kekuatan yang ada kepada manusia itu harus dilihat secara objektif. Beliau, saya rasa telah mengusik sedikit pemikiran kita pada hari ini tentang bagaimana seharusnya kita memberikan kredit, memberikan pujian kepada mereka yang benar-benar layak. Bukannya kepada mereka yang semua dalam hidup ini memberikan pujian kepada kita.

Kita ada pengalaman bersahabat. Kalau sahabat itu siang malam memuji kita, tidak habis bercakap puji kita, mengampu kita, that mean something wrong dengan sahabat kita itu. Akan tetapi, kalau sahabat itu ada ketika dan kalanya memberikan sedikit pujian, mengkritik kita, memberikan kita teguran, itu adalah sahabat yang baik, yang dalam pelarian umur kita, akhirnya kita akan mendapati sahabat yang banyak mengkritik kita itu adalah merupakan sahabat yang baik, sahabat yang dianggap sahabat yang jujur dalam kehidupan kita.




Demikian juga kita dalam dunia demokrasi. Saya rasa kita harus melihat perkara-perkara yang melibatkan negara ini kepada satu skala yang lebih besar, bukan dalam minda yang sempit dan mengajak kita semua berfikir bahawa kita telah meninggalkan garisan kemerdekaan ini 50 tahun. Perkara pertama yang saya ingin katakan ialah tentang bagaimana seharusnya kita mengenal pasti tentang ancaman-ancaman baru.

Orang muda

Saya hendak bercakap daripada konteks orang muda, generasi muda yang harus kita bimbing pemikiran mereka dan potensi mereka ke arah menjadi orang muda yang bertanggungjawab.

Setiap parti ada keanggotaan pemudanya baik daripada pembangkang atau pun dari pihak Barisan Nasional. Akan tetapi, apa yang penting adalah tidak semua yang kita didik itu akhirnya akan pergi kepada parti kita. Ini pengalaman kita. Bila mereka telah keluar daripada universiti, tamat pengajian, mereka bebas untuk memilih parti yang mereka hendak pilih. Jangan kongkong mereka. Saya ingin memperjelaskan sekali lagi bahawa cara kita melayani pelajar-pelajar kita dalam pilihan raya kampus baru-baru ini amat menjijikkan dan memalukan.

Kita kembali pada zaman kuno. Kita ugut pelajar-pelajar kita. Kita susahkan untuk mereka mengisi borang. Kemudian, ada kejadian-kejadian mereka di kidnap. Ada kejadian-kejadian mereka diugut dengan SMS yang berunsur jenayah. Kenapa ini harus berlaku dalam dunia kita pada hari ini sedangkan di sanalah tempat kita melihat potensi anak-anak muda ini perlu kita didik, perlu kita beri ruang untuk mereka berfikir, memilih dan untuk mereka membuat keputusan, untuk mereka menilai parti mana atau kerajaan mana yang mereka hendak pilih atau dalam konteks kampus, mereka memilih pemimpin yang mereka rasa yakin untuk mereka undi dalam konteks mereka.

Akan tetapi, kenapa kita layan mereka seperti itu? Kenapa kita bina minda generasi muda dalam keadaan yang sebegitu? Kita undur balik ke belakang. Kalau ada menteri-menteri atau timbalan-timbalan menteri yang bercakap tentang sedikit kebebasan yang perlu diberikan kepada mereka, kita sudah mula lihat menteri tersebut atau timbalan menteri tersebut mula dipinggirkan. Ini pemikiran yang saya rasa tidak setaraf dengan apa yang kita hendak bina dalam negara kita pada hari ini.

Potensi orang muda saya hendak beritahu. Apabila Alvin Toffler menulis buku The Third Wave , mungkin Alvin Toffler pun tidak menyangka hari ini dunia siber, era teknologi maklumat pada hari ini menjangkau satu kemajuan yang sangat luar biasa.

Kemudian, Samuel Huntington meramalkan  the clash of civilization, dengan izin. Pertembungan antara agama, antara budaya tetapi nampaknya pertembungan dalam agama dan budaya tidak sehebat sebagaimana yang kita alami pada hari ini kemajuan IT. Sehingga hari ini kita melihat telah ada sarjana yang menulis dan meramalkan akan berlaku satu pertarungan yang hebat dalam apa yang dikatakan cyber warfare, peperangan siber, cyber attack.

Ini dipraktikkan dan ditunjukkan bagaimana Barack Hussein Obama menggunakan facilities ini, menggunakan facebook nya untuk menamatkan legitimasi atau pun keangkuhan orang kulit putih. Dalam kempen pertamanya, dalam saingannya bersama Hillary Clinton, Barack Obama menggunakan kaedah atau pun pendekatan change .

Ancaman baru dunia yang seharusnya difikirkan bersama dalam konteks saya memberikan pandangan konstruktif saya terhadap layanan kita terhadap orang-orang muda, potensi mereka dan juga keupayaan mereka sebagai suatu tenaga penting kepada negara satu hari esok.

Apabila kita bercakap tentang kehebatan dunia siber ini, saya menjelaskan sebentar tadi tentang bagaimana Barrack Hussein Obama telah menggunakan kaedah dan pendekatan ini dalam kempennya di peringkat awal bersaing dengan Hillary Clinton dengan slogan ‘Change Now’ dan menggunakan kekuatan Facebook dan Twitter dan kemudian beliau berjaya untuk ke langkah seterusnya bersaing dengan rakan beliau untuk merebut kerusi nombor satu di  White House. Beliau telah menggunakan slogan ’The Change That We Can Believe In’, dengan izin, dan juga menggunakan Facebook dan Twitter ini sebagai bahan kempen utama Barrack Hussein Obama.

Dengan jelas ia membuktikan bahawa kekuatan walaupun mungkin tidak keseluruhannya tetapi faktor utama dalam sejarah terbaru Amerika dan dunia baru ini menyaksikan bagaimana seorang yang berkulit hitam boleh menjadi orang nombor satu di Amerika, orang nombor satu di White House dengan kekuatan jari-jemari golongan muda menggunakan pendekatan ini untuk mereka menunjukkan sikap politik mereka.

Kita apabila berhadapan dengan orang muda ini jangan diperlekehkan tentang keupayaan mereka, jangan diperkecilkan, jangan kita membuat suatu undang-undang yang walaupun pada zahirnya tidak menampakkan kezaliman kepada mereka tetapi dalam satu waktu yang sama kita menyaksikan bagaimana undang-undang itu telah memperbodohkan mereka, mengheret pemikiran mereka ke arah zaman yang jauh jutaan tahun yang lalu, zaman batu, malah lebih dahsyat daripada itu. Dengan jari-jemari orang muda pada hari ini mereka boleh mengubah sejarah.

Saya ingin menyatakan dalam ucapan ini tentang fenomena dunia. Kita lihat perang dunia yang pertama telah mengubah sejarah Eropah Timur mendapat kemerdekaan. Negara seperti Hungary, Poland, Yugoslavia, Republic Chech dan seumpamanya merdeka selepas fenomena perang dunia yang pertama. Perang dunia yang kedua kita melihat bagaimana jatuhnya pelbagai empayar dan kita juga melihat Eropah Timur mendapat kemerdekaan keduanya dan seterusnya kita melihat dengan keupayaan dari fenomena itu akhirnya jatuh apa yang dikatakan the fall of the Berlin Wall . Jatuh dan runtuhnya Tembok Berlin.

Kemudian selepas cold war, selepas perang dingin, kita menyaksikan bagaimana negara-negara yang dahulunya diperintah oleh para diktator. Apa yang saya sifatkan sebagai Old Order ini runtuh satu demi satu dan fenomena ini berterusan kerana manusia itu akan terus potensinya berkembang kerana ia manusia. Ia bukan satu yang statik. Manusia ini pemikirannya walau satu waktu dahulu tidak berubah tetapi ia mesti berubah mengikut zaman dan keperluan apatah lagi dalam the third wave ini.

Maka, dengan sebab itulah kita melihat Old Order ini ataupun empayar-empayar besar dunia ini jatuh walaupun mereka ditekan dengan undang-undang yang zalim tetapi akhirnya mereka bangkit untuk mendapatkan hak mereka.

Maka, dalam dunia yang saya katakan tadi, dengan siber attack ini ada dua  dimensi di situ. Dimensi pertama mereka menggunakan peralatan canggih ini untuk mereka menentukan sikap mereka. Hari ini kita melihat jatuhnya Hosni Mubarak di Mesir, jatuhnya empayar atau diktator di Tunisia, sekarang di Yaman, di Bahrain dan mungkin esok di Arab Saudi. Ini fenomena yang berlaku dan perhatikan dengan cermat bahawa semuanya berlaku pada negara-negara yang demokrasinya dibunuh ataupun negara yang tidak punya demokrasi walaupun dengan kekuatan persenjataan, kekuatan undang-undang memenjarakan mereka, menekan mereka, membunuh mereka tetapi ingat suatu hari manusia ini pasti akan bangkit.

Kita hari ini menyaksikan depan mata kita dan semua orang bercakap pada hari ini Malaysia tidak mungkin jadi macam Mesir, Malaysia tidak mungkin akan jadi macam negara-negara lain tetapi saya ingin memberikan suatu pandangan yang mungkin unjuran yang jauh, yang mungkin tidak dapat diperakui pada hari ini. Jangan bunuh demokrasi pada orang muda pada hari ini. Kalau kita mengakui negara kita punya demokrasi, suburkan demokrasi itu dan jangan buat demokrasi di kampus sebagai suatu tempat kita menahan ledakan dan potensi anak muda. Ini yang saya maksudkan kerana dengan jari-jemari mereka boleh merubah dunia.

Saya ingin menjelaskan satu lagi faktor dalam aspek ini ialah bahawa orang muda ini mereka boleh merubah sejarah, mereka boleh meruntuhkan empayar, mereka boleh menggunakan ruang siber yang ada pada hari ini untuk mereka mencapai tujuan mereka. Cuba kita bayangkan Hosni Mubarak yang belanjawan negaranya untuk tentera sahaja, untuk persenjataan sahaja, untuk kononnya bersaing dengan Israel berbelanja hampir 5% atau pun 6 % daripada KDNK mereka untuk kekuatan itu.

Orang dahulu takut terhadap bom atom. Hari ini dunia masih lagi berbincang tentang senjata nuklear tetapi apa yang berlaku pada hari ini tanpa bom atom, tanpa senjata nuklear, kerajaan boleh jatuh dengan cyber attack, dengan jari-jemari. Oleh itu bagi saya, kita harus melihat potensi anak muda ini untuk kita bangunkan.

Saya sendiri tidak mahu jadi seperti itu dalam negara kita. Akan tetapi kalau demokrasi ini tidak disuburkan, kalau tahun hadapan lagi kita melihat agaimana anak-anak muda kecewa dengan cara mereka diperlakukan dalam pilihan raya kampus, ini membakar semangat mereka. Mereka manusia, mereka human, mereka insan yang mahu suatu idealisme sebagai seorang pelajar di sebuah pusat pengajian tinggi dan jangan lagi layan mereka macam budak sekolah. Ini yang saya maksudkan supaya kita harus ingat tentang bahaya kalau kita mengongkong pemikiran manusia, mengongkong kehendak mereka, kita menyekat pemikiran mereka dan kita menggunakan undang-undang untuk mereka.

Kalau berlakunya pilihan raya kecil pun atau pilihan raya umum, kenapa tidak? Kalau ada fakulti sains politik..., di Universiti Malaya telah ada UMCEDEL, telah ada suatu badan bebas yang kita pertanggungjawaban mengkaji politik, UKM ada fakulti sains politik, kenapa tidak izinkan mereka turun? Kalau ada dua fakta yang kita ragui – sebagai contoh hari ini kalau kita menyatakan dengan fakta bahawa FELDA Plantation itu adalah satu yang kita anggap bertentangan dengan falsafah asal atau matlamat DEB. Ia kita anggap bertentangan dengan kehendak Allahyarham Tun Razak yang pada waktu itu mahukan FELDA ini sebagai senjata yang dua serampang, membasmi kemiskinan dan menyusun kembali masyarakat. Kita mendakwa apa gunanya FELDA Plantation?

Kalau ada fakta yang begini, kenapa tidak harus universiti dengan fakulti sains politik menghantar pelajar mereka untuk menyiasat? Biar mereka melihat, biar mereka mengkaji tentang kebenaran fakta ini. Ini cara kita menyuburkan pandangan. Ini cara kita berhujah dalam dunia dan iklim politik yang sihat kalau kita mahu menjauhkan diri kita daripada politik fitnah dan seumpamanya. Akan tetapi kita sekat mereka. Kita kenakan undang-undang pada mereka. Kita gantung pengajian mereka. Kita gantung biasiswa mereka. Ini cara apa? Jadi saya rasa harus kita melihat perkara ini dalam suatu kehendak orang muda yang kita raikan pemikiran mereka.

Kalau suatu hari esok di kalangan mereka lahir sebagai pemimpin negara, rakyat yang untung, rakyat yang akan mendapat manfaatnya. Tidak kiralah sama ada mereka Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kalau Barisan Nasional kalah, kita memerintah. Insya-Allah PR memerintah. Kalau kita kalah tidak mengapa, teruskanlah memerintah tetapi apa yang penting bagi saya ialah jangan bunuh potensi anak muda.

Kedua, saya ingin menyatakan tentang ancaman kedua kepada cyber attack ini iaitu apa yang dikatakan sekarang sebagai cyber terrorism.

Yang tadi mereka menggunakan seluruh kecanggihan peralatan untuk mereka bersaing, untuk mereka mencapai kehendak mereka. Dimensi yang kedua yang lebih bahaya adalah bagaimana hari ini dengan menggunakan dunia IT yang ada pada hari ini, peperangan siber ini juga kita melihat bahawa ancaman kepada kerajaan dan negara dengan apa yang saya sebut di sini sebagai cyber terrorism atau cyber security.

Sekarang sudah ada satu virus yang dikatakan stacks net. Satu virus yang telah dicipta untuk ia boleh dengan izin, disable computer system. Keupayaan keselamatan negara yang disimpan dalam data boleh dipunahkan dan boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

Iran sekarang ini mengalami ancaman ini, Amerika sekarang ini mengalami ancaman ini. Bukan lagi nuklear, bukan lagi atomic bomb tetapi dengan virus yang dihantar melalui sistem kecanggihan IT. Adakah negara telah bersedia ke arah itu? Ini soalan saya kepada Kementerian Pertahanan. Kalau yang tadi itu menggunakan jari jemari mereka untuk meruntuhkan atau menjatuhkan kerajaan, menjatuhkan diktator, sekarang dengan virus stacks net ini, mereka melumpuhkan sistem keselamatan negara. Apa akan jadi kepada negara kita?

Ketenteraan

Saya suka untuk membuat sedikit perbandingan di sini tentang keprihatinan saya kepada negara, menyahut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tentang peralatan fizikal ketenteraan kita. Ya, bukan kita mahu berperang dengan negara jiran.

Bukan itu matlamat kita, tetapi bila negara jiran dari tahun ke tahun meningkatkan belanjawan mereka dalam bidang ketenteraan, apa sikap kita? Saya membaca beberapa fakta di sini. Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua.

Sejumlah RM35.5 bilion diperuntukkan bagi tahun kewangan Singapura 2011 bermula 1 April ini berbanding RM11.46 bilion pada tahun lalu untuk ketenteraan mereka. Untuk mengukuhkan hujah saya, data dari Stockholm International Peace Research Institute dari tahun 1990 hingga 2007, jelas menunjukkan terhadap enam tahun di mana bajet tentera diturunkan. Dahulu badan ini turut mendedahkan bahawa jurang antara Malaysia dan Singapura dalam perbelanjaan tentera berbeza hanya USD800 juta setahun pada tahun 1991 tetapi menjarak kepada USD1.3 bilion setahun pada tahun 1995.

Pada tahun 2008, Republik Singapura berbelanja lebih USD2.3 bilion lebih tinggi berbanding Malaysia. Bila data itu dikaji bagi tempoh 10 tahun, jurang perbelanjaan menjadi semakin besar. Ini jarak kita dengan Singapura dari segi mereka membeli senjata canggih mereka. Mereka ada stealth, pesawat tercanggih paling pantas di dunia. Apa yang ada di Israel, ada di Singapura. Mereka ada peluru berpandu. Mereka ada kereta kebal anti tank paling canggih yang ada pada hari ini. Kita ada apa? Kita ada dengan izin, disable weapon. Ada kapal selam pun tidak boleh hendak menyelam. Ada tiga kapal laut tentera yang ada pada hari ini, satu terbakar. Kita ada apa yang ada pada hari ini?

Bukan saya dengan niat untuk menghina negara sendiri tetapi ini peralatan yang kita ada pada hari ini. Kita ada skyhawk jenis apa, tahun berapa, kapasitinya bagaimana? Walaupun saya faham dan saya mengerti bahawa itu bukan untuk tujuan peperangan tetapi ini hakikat yang ada pada hari ini. Kalau ini pun kita tidak boleh hendak bina, apa pula persediaan kita dalam konteks  cyber attack yang saya katakan tadi di mana dunia menghadapi ancaman cyber terrorism. Iran dilanda sekarang ini, negara Eropah dilanda dengan virus ini. Apakah persediaan kita terhadap perlindungan keselamatan data dalam negara kita?

Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff [Balik Pulau]: Yang Berhormat Kubang Kerian, Balik Pulau sedikit penjelasan. Saya bersetuju dari segi aspek keselamatan negara. Cuma, yang saya juga mohon Yang Berhormat Kubang Kerian beri sedikit pandangan ialah mengenai ketika era apa yang dipanggil sebagai the era of soft power, bajet kita kepada Kementerian Luar untuk teman-teman kakitangan kerajaan terutama untuk mewakili negara terhadap kerja-kerja diplomasi kurang banyak untuk tahun ini.

Akan tetapi yang saya tahu, dengan perkembangan globalisasi sekarang, cabaran untuk kerja-kerja diplomasi ini amat lebih mencabar. Saya rasa di  era soft power ini, selain daripada keperluan untuk kekuatan fizikal, military sifatnya, tetapi saya rasa untuk meningkatkan dengan izin, the sophistication of our staff iaitu kakitangan Kerajaan Malaysia yang saya rasa perlu. Saya rasa mungkin Yang Berhormat Kubang Kerian boleh beri sedikit pandangan.

Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]:  Ya, satu pandangan yang bijak daripada rakan saya Yang Berhormat Balik Pulau di mana saya juga melihat bahawa dunia diplomatik juga menjadi semakin penting dalam kita mencatur, dalam kita melihat our way forward dengan izin, tentang kesediaan negara dalam kita berinteraksi dengan dunia yang ada pada hari ini. Peralatan mereka dan juga kelengkapan mereka harus dipertingkatkan supaya mereka juga dapat memainkan peranan yang maksimum dalam kita menentukan tentang efficiency, kecekapan negara kita dalam kita menyaingi mereka.

Saya tertarik dengan sejarah masa lampau. Hari ini, bila ada perundingan damai yang melibatkan – termasuk dunia Islam, negara yang menawarkan adalah negara Norway, Finland ataupun Sweden. Negara-negara yang menawarkan perlindungan politik juga, yang rasa selamat ialah negara-negara dengan izin di  Scandinavian countries. Jadi walaupun dulu mereka adalah ‘Viking’, mereka  adalah lanun laut utara yang kita belajar di sekolah dahulu, namun dalam masa yang cepat mereka belajar dan mereka hari ini menjadi  peacemaker, mereka menjadi mediator untuk mereka tampil di pentas dunia dan menawarkan khidmat mereka untuk perundingan damai. Jadi saya rasa Malaysia juga mesti ke arah itu dalam kita bersaing dengan dunia-dunia yang berada pada hari ini. Terima kasih sahabat saya daripada Balik Pulau.

Buku Jingga

Saya beralih kepada Buku Jingga. Walaupun apa pun yang dikatakan tentang Buku Jingga ini, terima kasihlah kepada sahabat kita daripada Kota Belud walaupun tidak ada di sini kerana sebahagian besar ucapannya menyentuh tentang buku ini walaupun diperkecilkan. Ya lah, maklumlah kami tidak lagi di tahap duduk di sebelah sana tetapi ini yang kita tawarkan kepada rakyat. Saya rasa dengan diskusi itu yang walaupun ada kritikan, saya faham tidak mungkin mereka memuji tentang Buku Jingga ini. Akan tetapi saya rasa itu satu permulaan yang baik di mana di sebelah sana juga telah menerima ini sebagai satu dokumen yang perlu dibahaskan.

Saya rasa ini satu perkara yang baik. Kalau ia nanti menjadi satu perkara yang lebih penting, ada banyak lagi forum-forum tertentu yang boleh kita bahaskan tentang Buku Jingga ini kerana kita juga datang dengan suatu latar belakang pimpinan yang ada, latar belakang pengalaman mereka dalam kerajaan. Saya rasa dalam konteks ini saya bersetuju dengan rakan-rakan macam Yang Berhormat Pengerang tadi. Janganlah tuduh kita ini membangkang semata-mata. Tidak ada budi langsung kepada negara ini. Tidak ada suatu jasa langsung kami ini kepada negara. Itu tidak betul. Lihat sahaja Parlimen ini. Caucus yang dikemukakan. Siapa yang menganggotainya? Tidak semua seratus peratus Barisan Nasional. Juga daripada kami. Lawatan-lawatan kerja ke luar negara saya rasa juga dijemput kepada kami. Baru-baru ini saya dengan rakan daripada BN, Yang Berhormat Pokok Sena, kemudian Yang Berhormat Kuala Krai bersama Ahli Parlimen daripada Sabah dan Sarawak. Kita pergi kepada satu persidangan Global Peace Conference di Jepun dan Korea. Kita boleh duduk semeja berhadapan dengan parti baru di Jepun dan kita boleh kemukakan idea bersama. Tidak timbul masalah kita hendak mencaci negara sendiri di hadapan negara lain. Itu satu perkara yang saya rasa harus dilihat.

Jadi dalam konteks Buku Jingga, terima kasih dan tahniah kerana memberikan kesempatan untuk dibahaskan. Saya rasa kalau ada perkara-perkara yang perlu dikritik, ayuh kita boleh bincang secara intelektual, adakan  intellectualist course untuk kita tengok apa yang baik dan positif. Ini pandangan kita kepada rakyat yang harus kita panjangkan untuk kebaikan negara.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena]: Sikit sahaja. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Kubang Kerian. Setuju atau tidak bahawa sepatutnya dalam proses pengundian demokrasi dalam negara kita ini dalam konteks Buku Jingga, buku biru tua dan sebagainya, dalam konteks untuk membina masyarakat Malaysia yang bermaklumat, yang menentukan hala tuju negara kita ini berasaskan kepada knowledge, pengetahuan yang cukup. Sepatutnya agensi-agensi media elektronik ini seperti RTM, TV3, Kumpulan Media Prima dan sebagainya memperbanyakkan lagi intellectualist course yang berkaitan dengan bukan sekadar Buku Jingga tetapi saya kata bahawa kalau BN boleh keluarkan buku biru tua, jadi kita boleh membuat perbandingan. Buku Jingga dengan buku biru tua supaya masyarakat diberi peluang untuk melihat dan menilai sama ada Buku Jinggakah yang lebih baik atau buku biru tuakah yang lebih baik. Jadi yang mana?

Salahuddin  Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena, ya. Satu pandangan yang sangat baik yang Yang Berhormat Pokok Sena kemukakan untuk Parlimen ini. Saya rasa dalam era selepas 2004, ada sedikit keterbukaan RTM. Ini saya hendak – ya lah kalau benda yang boleh saya puji, saya puji. Dulu ada Debat Perdana. Satu ruang waktu yang saya rasa walaupun pendek, sejam. Kemudian, Astro hari ini membuka ruang untuk kita dan dipanggil ahli-ahli panel daripada semua pihak. Saya rasa satu perkara yang sangat baik. Rakyat melihat kemunculan kita dalam televisyen yang dulu orang anggap pembangkang ini akan bercakap dengan bahasa yang kesat.

Satu persembahan yang memang rupanya rupa pembangkang. Namun dalam ruang waktu itu kita melihat semua bercakap tentang kebaikan negara. Sumbangan kita kepada negara. Tidak ada orang hendak look stupid on air.  Jadi Astro telah buat satu ruang waktu. Namun saya hairan sekarang ini Astro pun sudah mula longlai. Mungkin ada suatu arahan.

Jadi saya rasa kalau ini boleh kita lebar luaskan dalam konteks kita menggalakkan satu minda yang berpengetahuan, masyarakat yang base on k-Knowledge, saya rasa kita sangat membantu kepada negara kita sendiri.

Friday, March 11, 2011

Timb.Menteri Gagal Perjelas Pembinaan Kampus Terbengkalai

Timbalan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Hou Kok Chung gagal menjawab soalan mengenai projek pembinaan beberapa kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) meskipun majlis pecah tanah telah dilaksanakan.

Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi, meminta Kementerian memberi penjelasan mengenai pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachock yang masih belum dilaksanakan.

Menurut Nasharudin, majlis pecah tanah sudah beberapa kali diadakan terutamanya apabila tiba musim pilihanraya namun sehingga sekarang, projek berkenaan gagal dilaksanakan meskipun dimaklumkan tiada masalah berkenaan tapak yang dililih itu.

Nasharudin berkata, akibat kegagalan Kementerian meneruskan projek berkenaan, UMK terpaksa menumpang di kawasan lain sebagai kampus sementara.

"Saya minta Pihak Kementerian memberikan penjelasan berhubung perkara ini kerana pelajar-peajar UMK terpaksa menumpang di kawasan lain yang ternyata tidak kondusif untuk pembelajaran mereka," katanya.

Nasharudin menimbulkan pertanyaan itu berikutan soalan Mohd Nor Othman (BN) yang meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan langkah-langkah yang telah diambil bagi pembinaan politeknik Hulu Terengganu di Kampung Kuala Jeneris yang telah disempurnakan majlis pecah tanah oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada 3 Februari 2008.

Namun, Hou Kok Chung (BN-Kluang) tidak dapat menjawab soalan Nasharudin sebaliknya meminta untuk menjawabnya secara bertulis atas alasan soalan berkenaan luar daripada soalan asal.

"Oleh kerana soalan ini di luar daripada soalan asal, saya pohon notis (jawapan bertulis)," katanya.

Berikutan jawapan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR- Permatang Pauh) bangun menegaskan soalan Nasharudin.

"Apa yang luar soalan asal?Soalan itu berkaitan dengan politeknik politik di Hulu Terengganu. Jadi Bachok bertanya soalan yang hampir sama.Sudah beberapa kali pecah tanah, tapi projek tidak berjalan.

"Pecah tanah 2008,tender 2011.Ini KPI apa?Saya nak tegaskan soalan Bachock ini mengenai politeknik politik Hulu Terengganu," tegasnya yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Bagaimanapun, Kok Chung menjawab bahawa projek berkenaan tidak dapat diteruskan kerana masalah sruktur tanah yang berbukit.

Jawapan Kok Chung itu menyebabkan Anwar sekali lag bangun membidas.

"Maknanya masa pecah tanah tak tahu ada bukit di situ?Perdana Menteri pada masa itu pergi, Kementerian Pengajian Tinggi pergi tengok, tak ada bukit di situ?Sekarang baru ada bukit?" Soal Anwar disambut hilaian ketawa beerapa wakil dari Pakatan Rakyat yang lain.

Soalan Anwar itu tidak dapat dijawab oleh Kok Chung sebaliknya beliau hanya tersenyum dan terus duduk.

Dalam jawapan kepada soalan Mohd Nor, beliau memberitahu,projek berkenaan masih akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 setelah Kementerian menghadapi pelbagai isu untuk melaksanakannya semenjak diumumkan pada awal Februari 2008.

Projek berkenaan ujarnya menghadapi beberapa isu seperti kos projek yang telah melambung tinggi daripada RM144 juta kepada RM359 juta akibat kesan daripada krisis ekonomi sepanjang tahun 2008 dan juga struktur tanah yang berbukit.
Isu tapak tanah juga masih perlu diatasi kerana proses pengambilan tanah belum dapat diselesaikan.

Saturday, December 18, 2010

3PEMIMPIN SISWA DITAHAN BANTAH KENAIKAN HARGA BARANG

Tiga pemimpin siswa ditahan selepas mereka menyertai perhimpunan di luar Masjid Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula minggu lalu.



Mereka yang ditahan itu ialah setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak, serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli.




Ketiga-tiganya adalah sebahagian daripada 100 pelajar yang berhimpun di situ.

Kumpulan pelajar yang memakai baju berwarna hitam itu turut menjerikkan slogan-slogan seperti "Kuasa Mahasiswa" ketika berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.
Bagaimanapun, kira-kira lima anggota polis menemui mereka dan meminta mereka bersurai.

Seorang anggota polis memberitahu mereka tidak boleh berkumpul di situ atau mereka akan ditangkap.


Setelah berunding seketika, anggota polis membenarkan lima wakil pelajar tersebut menuju ke JPM yang terletak berhampiran masjid tersebut, untuk menyerahkan memorandum mereka.


Dalam memorandum berkenaan, kumpulan mahasiswa itu menyuarakan rasa kesal dan kecewa terhadap kenaikan harga barangan baru-baru ini.
Diarahkan bersurai

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10 sen. Semua kenaikan itu dibuat di sebalik jaminan kerajaan bahawa tiada kenaikan harga untuk tahun ini.

Selepas menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira jam 2.15 petang, polis mengarahkan mahasiswa berkenaan bersurai.
Ketika itu, Ridzuan kelihatan bercakap dengan anggota polis di situ, difaham dia meminta kebenaran untuk berucap, tetapi dia ditahan dan dibawa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ridzuan dan Shukri ditahan di ibupejabat polis (IPD) Putrajaya. Mohd Shahruldeen pula ditangkap di hadapan IPD Putrajaya.

Dalam memorandum empat muka surat itu juga,
mereka mendesak agar gaji menteri dikaji semula dan dikurangkan bagi mengurang kos pengurusan dan perkhidmatan awam.

Mereka juga menuntut agar kerajaan mengembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong serta menurunkan harga barangan asas (kawalan) bagi kemudahan rakyat.

Memorandum tersebut diserahkan oleh presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil dari Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Moin Omar di pintu masuk JPM.

Ahmad Syazwan turut diiringi oleh pengerusi dan setiausaha SMM Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Ridzuan menyerahkan memorandum tersebut.
Jaminan polis

Sewaktu menerima memorandum tersebut, Abdul Moin memberitahu mereka bahawa beliau akan memajukan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada jam 6.15 petang tadi, peguam ketiga-tiga mahasiswa yang ditangkap itu, Puspawati Rosman memberitahu Malaysiakini, semua mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis setelah disoal-siasat hampir empat jam.



“Mereka diminta melaporkan diri semula ke IPD Putrajaya pada 23 Disember ini,” katanya.

Puspawati berkata setakat ini belum ada dakwaan khusus dikenakan ke atas ketiga-tiga anak guamannya.

Selain Puspawati, ketiga-tiga mahasiswa itu juga diwakili oleh seorang lagi peguam mereka, Haijan Omar.

HARGA NAIK: MAHASISWA TURUT MENJADI MANGSA



Minggu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga barang 4 dalam 1. Kenaikan yang tidak masuk akal ini menyebabkan bebanan yang besar kepada rakyat Malaysia apatah lagi musim persekolahan akan bermula pada awal Januari hadapan.

Pastinya rungutan dan rayuan rakyat tidak dan tidak akan didengari oleh Kerajaan Persekutuan. Lebih malang lagi, kesannya bakal dirasai oleh seluruh mahasiswa di Malaysia apabila semester baru akan dibuka menjelang hujung Disember ini.

Alasan pengurangan subsidi harga barang amat tidak relevan apatah lagi kenaikan barang baru sahaja berlaku tidak sampai 6 bulan lepas iaitu pada 15 Julai yang lalu. Di sini, mahasiswa secara jelasnya mampu dan boleh berfikir di mana prinsip 1Malaysia yang dilaung-laungkan oleh kerajaan selama ini. Jika betul rakyat didahulukan, kenapa kenaikan berlaku dalam masa 6 bulan?

Hal ini menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat terutamanya mahasiswa yang akan menempuh semester baru tidak lama lagi. Bagaimana hendak cukup biasiswa/pinjaman diberikan jika keperluan sara hidup semakin naik jika hendak dibandingkan pinjaman yang diberikan? Sepatutnya perkara seperti ini patut dimbil kira memandangkan lebih 300,000 ribu mahasiswa sedang berada di IPT seluruh negara sama ada di IPTA, IPTS, Kolej-kolej Komuniti, Politeknik dan sebagainya.

Kesannya, lebih ramai mahasiswa terpaksa ikat perut untuk meneruskan pengajian bahkan ada yang berkerja sambilan untuk menampung kos sara hidup dan lebih malang terdapat mahasiswa yang pengsan dek kerana 'exhausted' dan pengsan semasa bekerja untuk menampung keperluan diri di samping dalam pada masa yang sama perlu fokus dalam pengajian.

Dalam pada masa yang sama akan berlaku kenaikan harga makanan di kampus pusat pengajian dan perkara ini memang tidak dapat dielak lagi kerana pengusaha kafe/kantin terpaksa menanggung kos pengankutan lebih dari biasa kerana kenaikan petrol dan diesel serta kos bahan makanan seperti gula.

Jika perkara ini berlaku secara berterusan, bagaimana Malaysia hendak melahirkan pelapis dan rakyat yang kompeten dari sudut akademik mahupun sahsiah jika mahasiswa tidak dapat fokus dalam pengajian mereka?

Mahasiswa yang terus menerus menjadi mangsa seolah-olah ibarat anak dibuang dan kera disusukan. Hal ini dapat dilihat dengan tiada sebarang penarikan subsidi dilakukan kepada perunding-perunding asing dan kroni yang sewaktu dengannya. Walhal, siapa yang patut didahulukan dalam isu subsidi? sama ada kita rakyat Malaysia atau sebaliknya?

Jika terus menerus berlaku perkara seumpama ini, mahasiswa pastinya akan terus dizalimi demi menjaga kepentingan sesetengah pihak. Bahkan secara total mahasiswa semakin keliru dengan agenda yang hendak dibawa oleh kerajaan sama ada mendahulukan rakyat atau sebaliknya!

Monday, November 1, 2010

PRK GALAS : 4 MAHASISWA DITAHAN

GUA MUSANG 30 Okt : Empat anggota Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) termasuk Pengerusi Majlis Politik Nasional, Syukri Razak dan Ketua Penerangan GAMIS, Mohd Yusof Hadhari ditahan polis sewaktu bertemu dengan masyarakat di kawasan bandar di sini.




Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Mohammed Abdullah Sha'ani berbual dengan empat mahasiswa dari GAMIS iaitu (dari kiri) Muhammad Syahrul Deen Ahmad Rosli, Mohamad Rijaludeen Mohamad Anwar, Ahmad Syukri Abdul Razab dan Mohd Yusof Hadhari Saidon selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Sabtu malam.


Menurut maklumat awal, Syukri bersama tiga yang lain iaitu Mohd Yusof Hadhari, Mohd Sharuldin dan Mohd Rijalludeen ditahan mengikut Seksyen 15(3) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Keempat-empat mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Gua Musang bagi membantu siasatan.

Jurucakap GAMIS, Ahmad Shukri Kamarudin ketika dihubungi berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kumpulan berkenaan didatangi anggota polis berpakaian preman dengan mendakwa menerima aduan berhubung aktiviti mereka yang dianggap 'pengacau' di kawasan berkenaan.

"Anggota polis berkenaan mendakwa mereka menerima laporan daripada PAS dan Barisan Nasional (BN) serta penduduk setempat yang tidak senang dengan kehadiran kami di sini.

"Kami diberitahu bahawa pengadu-pengadu berkenaan menganggap kita sebagai 'pengacau' di kawasan ini," katanya.

Bagaimanapun Shukri berkata pihaknya musykil kerana polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menahan mahasiswa menggunakan AUKU.

"Polis tak ada kuasa nak tahan guna AUKU melainkan menerima arahan daripada Timbalan Naib Canselor universiti," katanya.

Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, berkata "Sebenarnya risalah yang kami edarkan tidak ada unsur politik pun cuma mengajak penduduk di Galas ini untuk keluar mengundi pada 4 November ini.

“Dalam risalah yang diedarkan tidak menunjukkan kami sokong mana-mana parti,” katanya ketika dihubungi malam ini.

GAMIS menggerakkan seramai 200 anggotanya di Galas bermula hari ini sempena pilihan raya kecil kawasan berkenaan bagi menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan rakyat untuk turun mengundi dan membuat pilihan yang tepat.

Saturday, October 30, 2010

MENARA WARISAN

Perdana menteri, Najib Razak sememang seorang Perdana menteri yang prihatin. Prihatin dengan peninggalan dahulu. Terlalu sangat prihatin. Perdana menteri mencadangkan pembinaan menara warisan 100 tingkat.

Amat menarik. Menara warisan sebagai lambang negara maju. Apa kaitanya negara maju dengan menara warisan?

Keadaan kini menampakkan pembaziran kerajaan kepada perkara yang sia- sia. Jika projek sebegini diluluskan, maka akan banyak duit rakyat akan di perah. Semakin kembung pula poket orang- orang mereka.

Kerajaan pusat bukan lah kerajaan yang membela rakyat. Kita terfikir, kenapa Najib beriya mahu membina menara warisan sedangkan banyak perkara yang di perlukan kepada perkara lain.

Mahasiswa dan para pelajar merupakan pemimpin masa depan negara. Golongan sebegini sebenarnya waris negara. Membina waris negara. Bukan membina menara warisan. Sepatutnya peruntukan untuk membina menara tersebut di salurkan kepada kalangan mahasiswa.

Diberi biasiswa kepada mahasiswa atau golongan yang kurang kemampuan. Mengurangkan yuran pembelanjaan mahasiswa di kampus- kampus. Membina penempatan yang secukupnya kepada mahasiswa. Membina infrastuktur di universiti supaya pembelajaran menjadi lebih lancar.

Rakyat ternyata susah dengan pembinaan menara warisan yang belum pasti lagi fungsinya. Projek ini hanyalah alasan untuk meluluskan proses mengeluarkan duit negara kemudian di masukkan ke poket masing- masing.

Jika kerajaan prihatin, hapuskan segala bayaran di sekolah- sekolah. Beri bantuan kepada semua sekolah sama ada sekolah kerajaan atau sekolah agama rakyat(SAR). Menara warisan ini hanya sebagai lambang Najib mewarisi kekejaman kerajaan ke atas rakyat. Sama- sama kita gerakkan rakyat.

Saturday, October 9, 2010

Benarkan Pelajar IPT Anggotai Parti Politik



PENDAHULUAN

- Perbincangan dan pendirian untuk sama ada membenarkan atau tidak membenarkan pelajar IPT menganggotai parti politik amat bergantung kepada pandangan alam kita terhadap makna dan budaya ilmu, pendidikan tinggi, pelajar IPT dan politik.


- Sebagai analoginya, jika pandangan alam kita percaya bahawa dunia adalah sebuah permukaan yang rata dan mempunyai hujung yang bertebing curam, maka, kita tidak akan membina kapal yang canggih. Ini kerana kita tidak akan belayar jauh di lautan sebab takut akan terjatuh di hujung dunia. Tetapi, jika pandangan alam kita percaya bahawa dunia adalah bulat, maka, kita akan membina kapal yang canggih. Ini kerana kita tidak lagi berasa takut terjatuh di tebing dunia. Sebaliknya kita berasa berani, berkeinginan, belajar dan bersedia untuk belayar ke tempat yang paling jauh. Begitu jugalah pandangan alam terhadap makna dan budaya ilmu, pendidikan tinggi, pelajar IPT dan politik. Ia akan mempengaruhi sama ada hendak melihat dan melaksanakan proses pembinaan pelajar IPT yang canggih ataupun sebaliknya.

- Matlamat sebenar IPT bukanlah untuk melahirkan pekerja yang baik, tetapi adalah untuk melahirkan insan yang baik. Pekerja yang baik tidak semestinya menjadi insan yang baik. Tetapi, insan yang baik sudah semestinya menjadi pekerja yang baik (Prof. Syed Muhammad Naquib al Attas). IPT juga bermatlamat untuk mendidik pelajar tentang makna kehidupan (Anthony T. Kronman) dan seni kehidupan (Alexander Meiklejohn).

- Menurut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2009, pelajar bukan hanya terhad kepada pelajar ijazah pertama sahaja, tetapi termasuk juga pelajar pasca-siswazah. Di universiti-universiti penyelidikan, jumlah pelajar pasca-siswazah akan mengatasi jumlah pelajar ijazah pertama.

- Ramai telah berbincang, menulis dan berjuang tentang persoalan mahasiswa dan politik ini sejak lama. Sebahagian pemikiran saya tentang persoalan ini terkandung dalam e-buku saya (2009), Kalau Saya Mahasiswa yang boleh dibaca secara percuma di laman web saya: saifuddinabdullah.com.my. Ketika memperjuangkan supaya AUKU Pindaan 1975 dipinda, banyak halangan dan tohmahan diterima, tetapi, akhirnya ia dipinda juga oleh kerajaan pada 2009, tetapi dengan tidak melakukan beberapa penambahbaikan yang sepatutnya dilakukan sekali. Justeru, perkara yang dibincangkan di sini adalah kesinambungan perjuangan tersebut.

CADANGAN

- Sebagai reaksi kepada kebenaran oleh kerajaan untuk guru siswazah memegang jawatan dalam parti politik, maka, pada 28 Julai 2010, saya telah melontarkan idea bahawa masanya telah tiba untuk kita memikirkan dan menimbangkan untuk:

(1) Membenarkan pensyarah IPT memegang jawatan dalam parti politik.

(2) Membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik.

- Kecuali dalam hal tertentu, kertas ini lebih banyak merujuk tentang cadangan membenarkan pelajar IPT menjadi ahli politik.

MATLAMAT UTAMA

- Dalam konteks membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik, ia mempunyai dua matlamat utama, iaitu:

(1) Untuk memenuhi haknya sebagai warganegara Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

(2) Untuk mematangkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi rakyat, termasuk belia dan pelajar IPT, dalam struktur dan proses membuat keputusan.

- Bagi matlamat memenuhi hak pelajar IPT, iaitu seperti yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan), ia bukanlah bermakna mewajibkan semua pelajar IPT untuk menjadi ahli parti politik. Ia adalah untuk melindungi hak bagi mereka yang ingin memenuhi haknya sahaja. Ini perlu dilakukan kerana pada masa ini, hak itu dihalang oleh perundangan-perundangan IPT yang berkaitan.

- Ini bukan persoalan sama ada semua pelajar IPT akan menjadi ahli parti politik. Realitinya, jumlah yang ingin menjadi ahli parti politik adalah kecil, iaitu kumpulan minoriti. Majoriti tidak berminat. Tetapi, kumpulan majoriti tidak boleh menghalang pilihan yang ingin dibuat oleh kumpulan minoriti. Apalagi, dalam hal ini, pilihannya itu dijamin oleh Perlembagaan.

- Perkara ini hampir sama dengan keadaan di sebuah sekolah yang di sana terdapat kumpulan minoriti pelajar beragama Islam. Walaupun kumpulan majoriti di sekolah itu tidak beragama Islam, tetapi, hak beragama yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan (kebebasan beragama), dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, menyebabkan kumpulan majoriti perlu membenarkan kumpulan minoriti yang beragama Islam itu memenuhi haknya dengan disediakan bilik solat dan guru agama untuk mereka.

- Bagi matlamat mematangkan demokrasi, ia adalah bersesuaian dengan salah satu cabaran Wawasan 2020, iaitu untuk melahirkan masyarakat demokratik yang matang.

- Ia juga bersesuaian dengan realiti, pengharapan dan tuntutan kontemporari. Kini, terdapat rakyat, terutamanya belia (termasuk pelajar IPT), yang menolak, skeptikal dan sinis terhadap ahli politik, parti politik dan institusi politik. Mujurnya mereka masih mempunyai kepercayaan terhadap demokrasi (Merdeka Center, Russell Dalton). Tetapi, kepercayaan itu adalah disekalikan dengan harapan dan desakan supaya dilakukan reformasi terhadap demokrasi yang melampaui sistem demokrasi yang wujud dan diamalkan pada hari ini (Russell Dalton).

- Dalam konteks ini, kita perlu menyelami dinamika partisipasi belia dalam politik (Spannring R., Ogris G & Gaiser W), yang terdiri daripada empat keadaan:

(1) Hubungan belia dan politik yang bersifat multi-dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

(2) Bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

(3) Mengenalpasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi politiknya?

(4) Kesaksamaan gender, iaitu dari segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza daripada belia lelaki?

- Dalam hal ini, saya menganjurkan amalan “politik baru”, iaitu judul buku saya (2008) yang dilancarkan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak

- . Politik baru melibatkan dua komponen utama, iaitu:

(1) Politik integriti. Integriti perlu diasaskan atas idealisme perjuangan. Amalannya melibatkan 3 tunggak, iaitu politik ilmu dan bukannya politik ampu, politik hikmah dan bukannya politik fitnah, dan politik bakti bukannya politik undi.

(2) Governans baru. Ia berasaskan kerangka baru yang melibatkan ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan/politik, perniagaan dan masyarakat sivil) bersinergi dalam struktur dan proses membuat keputusan yang lebih seimbang.


- Dalam governans baru, ia termasuk persoalan “penghakupayaan belia/pelajar IPT”. “Penghakupayaan belia” adalah lanjutan kepada konsep “partisipasi belia” yang mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya. Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”. Konsep yang sama termaktub dalam Deklarasi Menteri-menteri Belia Komanwel pada tahun 1998, Deklarasi Persidangan Menteri-menteri Belia Sedunia Pertama anjuran PBB pada tahun 1998, dan pengisytiharan 2010 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia (yang kedua). Semangat yang sama termaktub dalam frasa “penghakupayaan belia” dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), yang saya menjadi penderaf dan pembentangnya di Majlis Perundingan Pembangunan Belia Negara sebelum diluluskan oleh Kabinet, bagi menggantikan Dasar Belia Negara (1985).

- Penghakupayaan belia juga melibatkan beberapa kerangka pemikiran pembangunan belia yang progresif:

(1) Memahami bahawa terdapat “3 permintaan utama belia”, iaitu belia mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi-belia.

(2) Mengiktiraf bahawa belia bukan hanya pemimpin hari esok, tetapi adalah juga “pemimpin hari ini” dalam tiga kategori, iaitu pemimpin bagi mereka yang lebih muda daripadanya, pemimpin bagi yang seangkatan dengannya dan sebagai rakan kepemimpinan/pembangunan dengan yang lebih dewasa (termasuk IPT dan kerajaan).

(3) Kedudukan belia bukan hanya sebagai “penerima” pembangunan, tetapi juga sebagai “penyumbang” terhadap pembangunan.

(4) Program pembangunan belia melibatkan 3 orientasi utama, iaitu “aktiviti”, “bakti” dan “advokasi”.

(5) Komunikasi belia yang menggunakan pendekatan bekerja “bersama” belia, dan bukannya bekerja “untuk” belia; bercakap “bersama” belia, dan bukannya bercakap “kepada” belia.

- Dalam demokrasi, konsep partisipasi rakyat, termasuk belia/pelajar IPT, adalah merujuk kepada pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).
- Kini, terdapat keperluan untuk melakukan inovasi demokrasi (Graham Smith). Ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi, iaitu:

(1) “Demokrasi partisipatif”’ yang menekankan nilai intrinsik partisipasi itu sendiri, iaitu ia bersifat mendidik dan membina rakyat. Berpartisipasi adalah dengan sendirinya merupakan satu manfaat. Ia meningkatkan kefahaman rakyat tentang minat, kecenderungan, kemahiran, kualiti dan tanggungjawabnya terhadap politik.

(2) “Demokrasi deliberatif” yang memberi tumpuan khusus terhadap proses bagaimana sesuatu keputusan dibuat. Ia menekankan tentang keperluan supaya keputusan hendaklah dibuat melalui proses perbincangan sesama rakyat yang menikmati kebebasan dan kesaksamaan.

(3) “Demokrasi secara langsung” (direct democracy) yang menekankan tentang saat membuat keputusan. Legitimasi politik bergantung pada idea bahawa setiap rakyat mempunyai input yang saksama dan efektif dalam membuat keputusan secara kolektif.

(4) “Demokrasi kelainan” (difference democracy) yang merujuk soal bagaimana kumpulan-kumpulan sosial tertentu yang kurang mampu atau ditekan telah dipinggirkan daripada proses politik. Dalam konteks ini, legitimasi politik bergantung kepada sejauhmana suara dan perspektif yang khusus daripada pelbagai kumpulan sosial itu diiktiraf dan diwakili dalam proses membuat keputusan politik.

(5) “Demokrasi kosmopolitan” yang mempersoalkan kedudukan legitimasi keputusan yang dibuat oleh kuasa-kuasa politik transnasional sedangkan keputusan itu dibuat tanpa melibatkan partisipasi aktif penduduk tempatan yang terkesan oleh keputusan tersebut.

HALANGAN

- Pada masa ini, terdapat peruntukan perundangan yang tidak membenarkan pelajar IPT menjadi ahli parti politik melainkan dengan kebenaran Naib Canselor atau setaraf, iaitu seperti yang termaktub di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan 2009) untuk IPTA, Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib 1976) untuk UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti; dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan 2009) untuk IPTS.

- Dalam konteks ini, peruntukan kebenaran Naib Canselor atau setaraf tidak membawa maksud ia dibenarkan. Ia masih membawa maksud tidak dibenarkan. Pengecualian yang membenarkan itu tidak mengatasi peruntukan utama yang tidak membenarkannya. Analoginya ialah berpuasa di bulan Ramadan yang wajib hukumnya. Walaupun wajib, namun ia juga ada pengecualian yang membenarkan untuk berbuka puasa atau tidak berpuasa. Tetapi, pengecualian daripada berpuasa itu tidak membawa maksud hukum berpuasa itu tidak lagi wajib.

- Halangan lain ialah mentaliti negatif seperti: tidak percaya kepada pelajar IPT, memperlekehkan pelajar IPT, menggunakan teknik “culture of fear” (menakut-nakutkan) untuk mengongkong kebebasan pelajar IPT, kerangka politik lama yang tidak memahami realiti semasa dan sebagainya. Debat antara alasan yang menghalang ini serta jawapan terhadapnya terdapat dalam tajuk selepas bahagian ini.

- Di samping itu, terdapat juga sindrom “anti-pemikiran” dan “anti-intelektual” yang menolak atau tidak senang melihat idea-idea, apa lagi idea-idea baru, didebatkan, didialogkan dan dihujahkan secara terbuka, rasional dan bijaksana.

PERKEMBANGAN MUTAKHIR

- Cadangan ini mendapat respons positif dari beberapa tokoh dan organisasi seperti Dato’ Seri Zahid Hamidi (Naib Presiden UMNO), Saudara Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda UMNO), Saudara Mohd Maliki (Presiden Majlis Belia Malaysia), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan 12 buah pertubuhan pelajar UM yang lain, sebilangan gerakan mahasiswa lain, pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, sejumlah bekas pemimpin mahasiswa, tulisan oleh pemimpin mahasiswa hari ini dalam akhbar tempatan, hampir 100 peratus pemanggil rancangan IKIM FM pada 12 Ogos, ramai dalam laman sosial (facebook, blog, twitter, sms) dan sebagainya.

- Mahasiswa IPTA juga positif dengan cadangan ini, iaitu seperti resolusi yang dikeluarkan oleh Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar 2010, pada 8 Ogos 2010, yang bersetuju untuk membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik kepartian dengan bersyarat serta memerlukan penelitian dan perbincangan serius.

- Pandangan di kalangan pelajar IPT adalah pelbagai. Tidak semua bersetuju dengan cadangan ini. Malahan, jumlah yang tidak bersetuju mungkin majoriti. Tetapi, kumpulan majoriti tidak boleh menghalang kumpulan minoriti kerana ini bukan soal mewajibkan semua pelajar, tetapi, hanyalah untuk memberikan kebenaran kepada sesiapa yang memilih untuk menggunakan haknya sahaja.

- Respons yang positif juga diperolehi daripada Sidang Meja Bulat Mahasiswa dan Politik anjuran MBM pada 10 Ogos 2010.

- Kabinet (pada 11 Ogos 2010) telah membuat keputusan melarang mahasiswa berpolitik. Tetapi, laporan Malaysiakini pada hari yang sama, yang disahkan oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, menyatakan terdapat nota supaya berita tersebut tidak disiarkan oleh media.

LANGKAH SUSULAN-KEHADAPAN

- Dengan tidak sekali-kali bermaksud untuk membelakangi keputusan Kabinet, dan dengan kefahaman bahawa Kabinet juga pernah mengubah keputusannya apabila hadir maklumat baru dan realiti baru (termasuk mengubah keputusannya daripada kandungan AUKU pada 1975 kepada kandungan AUKU pada 2009), maka, adalah diharapkan yang perkara ini terus dibincangkan secara terbuka, berlapang dada dan berjiwa besar, dengan melibatkan semua pihak secara bebas, tenang dan bijaksana, dan dengan mengelakkan mana-mana pihak, khususnya pelajar IPT, daripada dihalang membincangkannya.

- Meningkatkan kesedaran dan pendidikan politik di kalangan pelajar IPT.

- Penilaian terhadap perundangan dan peraturan sedia ada, iaitu sama ada perlu meminda akta-akta berkaitan atau memadai dengan perlaksanaan secara pentadbiran.

DEBAT PELAJAR & PENSYARAH IPT BERPOLITIK

Berikut disenaraikan sebahagian besar daripada “alasan” yang telah dikemukakan oleh mereka yang tidak bersetuju dengan cadangan membenarkan pensyarah memegang jawatan dalam parti politik dan pelajar menjadi ahli parti politik. Ia disertai dengan “jawapan” terhadap alasan tersebut.


Alasan 1:
Pelajar sudah diberi ruang berpolitik melalui politik kampus.
Jawapan 1:
Politik kampus memang wujud. Sebenarnya, ia perlu ditingkatkan, misalnya dengan membenarkan pelajar melaksanakan sendiri pilihan raya kampus, iaitu seperti yang berlaku di sesetengah IPTS kita dan di banyak universiti terbaik di luar negara. Isu sekarang ialah mengiktiraf hak mereka sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan. Politik kampus adalah terhad kepada aktiviti ko-korikulum. Penglibatan pelajar dalam politik yang lebih luas akan menyuburkan lagi idealisme mereka dan akan dapat membantu mereka apabila berhadapan dengan dunia pasca-IPT.


Alasan 2:
Politik kampus adalah ruang pelajar mengangkat idealisme pelajar sedangkan politik luar akan membunuh idealisme tersebut.

Jawapan 2:
Cadangan ini mahu meluaskan ruang yang sedia ada untuk meningkatkan partisipasi pelajar dalam demokrasi. Persoalannya, apakah idealisme pelajar sekarang? Apakah pula contoh idealisme UMNO/BN yang membunuh idealisme pelajar? Sebenarnya, pelajar juga mampu mencorakkan politik luar. Contoh-contohnya wujud dalam sejarah gerakan pelajar di luar negara dan juga di dalam negara.

Alasan 3:
Kalau pelajar menjadi ahli parti politik, mereka tidak lagi bebas mengkritik parti mereka.

Jawapan 3:
Itu masalah parti tersebut yang tidak boleh dikritik, bukan masalah pelajar. Atau, kalau pelajar memilih untuk tidak mengkritik, maka, itu masalah peribadinya. Pelajar boleh memilih parti mana yang sesuai dengan dirinya. Apa yang menariknya ialah, orang yang menggunakan alasan ini terkenal dengan sikapnya yang tidak menggalakkan pelajar mengkritik. Merekalah yang selalu melabelkan pelajar yang mengkritik sebagai ”radikal”, ”anti-establishment” dan ”pro-pembangkang”. Jadi, apabila ia menggunakan alasan ini, ia hanya menunjukkan ini adalah alasan yang sengaja diadakan-adakan sahaja.

Alasan 4:
Pelajar akan terganggu pelajaran mereka sebab pengaruh politik luar.

Jawapan 4:
Kalau begitu, orang yang sudah bekerjapun tidak boleh berpolitik sebab takut mengganggu kerja mereka. Punca utama pelajar terganggu akademiknya adalah faktor lain. Ada pelajar yang tidak aktif apa-apapun, tetapi masih terganggu juga akademiknya oleh pelbagai faktor lain seperti clubbing, putus cinta, murung dan sebagainya. Cara berfikir ini samalah dengan yang menuduh kokurikulum menyebabkan akademik terganggu, dan premis ini telah ditolak oleh kajian di Universiti Harvard, contohnya.

Alasan 5:
AUKU sebenarnya yang melindungi idealisme pelajar selama ini dan membentuk kepimpinan pelajar dengan acuan sendiri.
Jawapan 5:
Apakah contoh idealisme pelajar yang dilahirkan oleh AUKU? Acuan apakah kepimpinan pelajar hari ini? Idealisme pelajar bukannya sekadar menuntut kurangkan bayaran PTPTN, harga makanan asrama atau isu bas. Idealisme pelajar adalah berasaskan perjuangan yang berdasarkan kecintaan terhadap nilai-nilai muluk seperti kebenaran, keadilan dan perpaduan, serta kebencian terhadap ciri-ciri buruk seperti kepalsuan, kezaliman dan perpecahan. Antara lain, idealisme adalah berlandaskan ayat al-Quran tentang menyeru kepada kebaikan (‘amal makruf) dan mencegah daripada keburukan (nahi mungkar). Kebanyakan kajian tentang AUKU Pindaan 1975 tidak menunjukkan yang ia melahirkan idealisme pelajar. Jika benar acuan yang dilahirkan AUKU itu positif untuk kerajaan, maka, mengapakah ia seperti tidak diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya umum (contohnya Pilihan Raya Umum 2008) yang menyaksikan sokongan pengundi muda lebih condong kepada pembangkang?

Alasan 6:
Kalau pelajar menjadi ahli parti politik, mereka akan diperkuda oleh pemimpin-pemimpin politik luar.
Jawapan 6:
Siapa suruh pelajar jadi kuda? Jadilah penunggang. Sebab itulah kita mahu memberi peluang kepada pelajar sebab mereka adalah sebahagian daripada masyarakat sivil. Kenyataan-kenyataan sebegini merendahkan keupayaan intelek pelajar. Sebenarnya, menyekat hak politik pelajar juga merupakan langkah memperkudakan pelajar, iaitu membuat pelajar tidak boleh bersuara secara politik.

Alasan 7:
Pelajar harus fokus kepada pelajaran sebab itu matlamat utama mereka ke universiti.
Jawapan 7:
Tidak ada sesiapa yang mengatakan pelajar perlu kurangkan fokus kepada pelajaran. Tidak ada data empirikal menunjukkan pelajar gagal dalam pelajaran disebabkan berpolitik. Ramai yang berpolitik di kampus yang berjaya pada hari ini. Ada juga yang tidak berpolitik semasa di kampus yang hari ini tidaklah berjaya sangat. Matlamat ke universiti ialah untuk menjadi insan yang baik, termasuk dalam bidang politik.

Alasan 8:
Biarlah mereka memilih parti politik yang mereka suka selepas tamat belajar.
Jawapan 8:
Kalau begitu, kita perlu cadangkan supaya umur mengundi pelajar dilewatkan sehingga telah keluar IPT.

Alasan 9:
Kalau seperti jawapan 8, maka, kita perlu benarkan polis dan tentera berpolitik.
Jawapan 9:
Boleh, tetapi pelajar juga perlu ada kad pengenalan khas seperti polis dan tentera, serta mengundi cara pos seperti polis dan tentera.

Alasan 10:
Apabila pensyarah berpolitik, maka ia mengganggu proses pengajian di universiti kerana mereka akan cuba pengaruhi pelajar. Pensyarah berlainan parti akan gagalkan pelajar berlainan parti.
Jawapan 10:
Universiti sudah lengkap dengan kaedah untuk mengawal mutu pengajaran dan pembelajaran. Pensyarah yang menggagalkan pelajar dengan alasan politik tidak layak menjadi pensyarah. Hukumlah beliau. Pokoknya, alasan ini menunjukkan sikap tidak percaya kepada pensyarah. Pensyarah dilihat lebih rendah daripada guru siswazah (yang pernah menjadi pelajarnya) yang kini dibenarkan aktif berpolitik. Pensyarah mempengaruhi pelajar IPT? Kalau begitu, silaplah kita membenarkan guru siswazah aktif berpolitik. Ini kerana, kalau pelajar IPT boleh dipengaruhi, ini kan pula murid sekolah. Sekali lagi, alasan ini berpunca daripada sikap tidak percaya kepada pensyarah.

Alasan 11:
Pendekatan populis ini tidak menguntungkan masyarakat kampus, sebaliknya mengundang bahaya kepada sistem pendidikan yang akan dipolitikkan.
Jawapan 11:
Apa salahnya populis kalau ia bermatlamat untuk kebaikan rakyat dan bukannya diri sendiri? Ia lebih baik daripada tiada apa-apa pendekatan atau langsung tiada apa-apa pendirian. Kenapa perlu dipisahkan pendidikan dengan politik? Sekarangpun kita ada politik di kalangan universiti, pensyarah dan pelajar. Apa yang kita tidak mahu ialah politik ampu dan ragu, serta politik sempit dan kotor. Kalau adalah tempat terbaik untuk menjana politik ilmu dan baru, serta politik segar dan bersih, maka universitilah tempat yang terbaik. Alangkah anihnya, jika amanah besar itu ditolak oleh universiti dan sebaliknya diserahkan kepada orang lain.

Alasan 12:
Kalau semua pelajar berpolitik akan timbul lebih banyak masalah.
Jawapan 12:
Pertama, apa masalahnya? Kedua, siapa kata semua pelajar? Ketiga, pelajar yang betul-betul aktif berpolitik bukanlah kumpulan yang besar. Keempat, apakah sekarang ini langsung tidak ada masalah?

Alasan 13:
Bayangkan kalau semua pelajar bebas bercakap apa saja, apa akan jadi pada keamanan negara? Kita banyak isu sensitif.
Jawapan 13:
Pertama, kita mempunyai pelbagai undang-undang yang mencukupi untuk mengawal keadaan, seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Di IPT pula terdapat kaedah tatatertib. Kedua, kita telah lama merdeka. Kita perlu belajar berbincang isu-isu (yang dikatakan) sensitif dan bukannya menyapunya di bawah tikar.

Alasan 14:
Majoriti pelajar anti-establishment.
Jawapan 14:
Bukankah sejak hampir satu dekad ini, keputusan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA hampir 100 peratus dimenangi oleh kumpulan (yang dikatakan) pro-aspirasi? Jadi, tidak betullah jika dikatakan majoriti pelajar adalah anti-establishment. Kalaupun benar pelajar anti-establishment, maka, sepatutnya difikirkan bagaimana untuk mengelakkan daripada establishment dibenci oleh pelajar. Kecualilah jika establishment memang tidak mahu atau tidak boleh dikritik.

Alasan 15:
Kita perlu lihat pro dan kontra perkara ini.
Jawapan 15:
Maknanya kita perlu lihat pro dan kontra jaminan hak berorganisasi dalam Perlembagaan? Usahlah terlalu mudah menggunakan strategi pro dan kontra dalam penghujahan. Kalau begitu, nikahpun ada pro dan kontranya. Cara berfikir ini sekadar untuk menimbulkan alasan tidak bersetuju sahaja atau sengaja mengada-adakan alasan atau membesar-besarkan alasan semata-mata.

Alasan 16:
Pelajar Melayu sahaja yang minat politik. Pelajar Cina dan India lebih tumpu kepada pelajaran.
Jawapan 16:
Ini pendapat yang berunsur perkauman. Seolah-olah kaum lain tidak endahkan politik. Sebenarnya, pelajar bukan-Melayu juga berminat dan aktif dengan politik.

Alasan 17:
Gunakan cerita-cerita tentang keburukan akibat pelajar aktif berpolitik, contohnya demonstrasi yang merosakkan harta benda.
Jawapan 17:
Cerita tentang demonstrasi perlu adil. Janganlah kalau ia melibatkan orang kita, maka demonstrasi dibolehkan, tetapi kalau melibatkan orang lain, maka demonstrasi tidak dibolehkan. Cerita merosakkan harta benda itu perlu diteliti. Contohnya, pelajar dituduh lari ke dalam masjid dengan tidak menanggalkan kasut. Logiknya, kalau dikejar, manalah sempat hendak membuka kasut! Pelajar yang berlindung dalam masjid dituduh memecahkan tingkap kaca. Sebenarnya, tingkap kaca pecah terkena gas pemedih mata yang ditembak dari luar masjid ke arah pelajar. Ini adalah teknik menakutkan-nakutkan untuk membina culture of fear yang tidak baik untuk pembangunan negara.

Alasan 18:
Pelajar akan hilang pendekatan non-partisan.
Jawapan 18:
Persoalan menjadi ahli parti politik adalah persoalan individu. Persoalan non-partisan pada peringkat organisasi dan gerakan mahasiswa adalah persoalan berbeza dan boleh dikekalkan. Malahan, secara individu dalam parti politikpun masih boleh mengambil pendekatan bi-partisan, contohnya, seperti dalam Kongres dan Senat Amerika Syarikat di mana seorang Demokrat tidak semestinya menyokong bil yang dibawa oleh seorang Demokrat, hatta oleh Presiden Demokrat.

Alasan 19:
Bukan semua pelajar hendak menjadi ahli parti politik.
Jawapan 19:
Siapa pula yang kata “semua”? Ini semata-mata untuk membenarkan siapa yang mahu sahaja, walaupun ia minoriti. Majoriti yang tidak mahu tidak patut menghalang minoriti yang mahu. Sebaliknya, dalam amalan demokrasi yang sihat, majoriti melindungi hak minoriti.

Alasan 20:
Pelajar tidak atau belum matang.
Jawapan 20:
Definisi matang digunakan dalam undang-undang. Contohnya, dalam kes rogol, wanita berumur 16 tahun dikira matang untuk melakukan hubungan seks; dalam kes jenayah, orang berumur 18 tahun tidak lagi dibicarakan di mahkamah juvana; dan orang berumur 21 tahun layak mengundi. Jika wanita berumur 16 tahun dikira matang untuk melakukan hubungan seks dan seseorang berumur 18 tahun dikira matang untuk berhadapan dengan undang-undang jenayah, dan katakanlah kedua-duanya tidak memiliki kelayakan untuk menjadi pelajar IPT, maka, adakah wajar untuk mengatakan bahawa pelajar IPT, yang lulus SPM/STPM/setaraf dengan cemerlang dan mendapat CGPA yang cemerlang di IPT, adalah tidak matang jika dibandingkan dengan mereka? Dalam hal yang lain, sebaik sahaja seseorang itu melangkah keluar dari IPT dan menjadi guru siswazah, maka, beliau bukan sahaja dibenarkan menjadi ahli parti politik, malahan dibenarkan juga memegang jawatan dalam parti politik. Tetapi, beberapa detik sebelum itu, orang yang sama dianggap tidak matang? Apabila berumur 21 tahun, pelajar IPT dianggap layak mengundi dalam pilihan raya umum, tetapi, pada masa yang sama dianggap tidak layak menjadi ahli parti politik yang dipangkahnya itu?

Alasan 21:
Kita perlu ada keseragaman, iaitu tidak boleh ada yang menjadi ahli parti politik dan ada yang tidak menjadi ahli parti politik.
Jawapan 21:
Dalam perkara seperti ini, adalah tidak sesuai untuk diadakan keseragaman. Ini mentaliti one size fits all yang telah lapuk. Kita perlu memberikan peluang untuk wujud pilihan.

Alasan 22:
Pelajar perlu bersyukur dan berterima kasih. IPT kita lebih baik daripada IPT di negara-negara mundur.
Jawapan 22:
Siapa pula yang tidak bersyukur atau berterima kasih? Kerana bersyukur dan berterima kasihlah maka terdapat pelajar yang ingin berpartisipasi dalam politik sebagai cara membalas budi, iaitu untuk berbakti kepada ibu pertiwi melalui bidang politik. Kecualilah jika ada yang beranggapan bidang politik tidak berbakti untuk ibu pertiwi. Mentaliti membandingkan kedudukan kita dengan negara mundur adalah mentaliti yang jumud. Sepatutnya kita membandingkan kedudukan kita dengan negara yang maju. Barulah ada gaya untuk kita melangkah menjadi negara maju.

Alasan 23:
Negara maju mempunyai latar belakang yang berbeza dengan kita. Kita tidak boleh meniru mereka.
Jawapan 23:
Janganlah menjadi bodoh lalu meniru membuta tuli. Tapislah. Pilihlah. Bukankah ada konsep best practise? Kita belajar apa yang baik. Apa yang buruk dijadikan sempadan. Baik dan buruk itu perlulah diukur dengan neraca kebenaran, dan bukannya dengan neraca denial.

Alasan 24:
Biarlah pelajar membuat keputusan peribadi. Orang luar tidak perlu campur.
Jawapan 24:
Kalau orang luar campur untuk tidak membenarkan pelajar membuat keputusan peribadi untuk menjadi ahli parti politik – ini dibolehkan? Tetapi, jika orang luar campur untuk membenarkan pelajar membuat keputusan peribadi untuk menjadi ahli parti politik – ini tidak dibolehkan? Isunya ialah pelajar tidak dibenarkan membuat keputusan peribadi itu. Kini, sudah ada sejumlah pelajar yang telahpun bersuara untuk dibenarkan membuat keputusan peribadi itu. Apa yang menghairankan ialah sekarang ada orang luar yang campur untuk menolak alasan yang diciptanya sendiri itu, iaitu kini, ia pula yang tidak membenarkan pelajar untuk membuat keputusan peribadi itu.

Alasan 25:
Pelajar kurang pengetahuan am.
Jawapan 25:
Sejak bila pula untuk menjadi ahli parti politik memerlukan seseorang itu lulus kertas Pengajian Am?

Alasan 26:
Kita perlu menggunakan fakta.
Jawapan 26:
Siapa pula yang tidak menggunakan fakta? Kita bukan sahaja menggunakan fakta, malahan kita menggunakan maklumat, iaitu tahap yang lebih tinggi daripada sekadar fakta. Kita juga menggunakan maklumat yang benar. Kita malahan menggunakan maklumat yang benar yang membawa makna, iaitu menepati definisi ilmu yang sebenar (Prof Dr Syed Muhammad Naquib al Attas). Kepada mereka yang menggunakan alasan ini, persoalannya ialah apakah fakta yang dimaksudkan itu? Adakah fakta itu benar atau dimanipulasi? Apakah rujukannya? Adakah rujukan itu muktabar? Atau alasan ini sengaja diadakan-adakan kerana telah kalah berhujah?

Alasan 27:
Kita tidak perlu meminda AUKU kerana ia telah dipinda pada 2009.
Jawapan 27:
Maknanya, bersetujulah dengan cadangan ini, cuma tidak perlu meminda AUKU sahaja. Terima kasih. Sebenarnya, meminda AUKU hanyalah salah satu daripada langkah yang mungkin diambil. Jika cadangan ini dipersetujui, ia masih boleh dilaksanakan tanpa perlu meminda AUKU. Sayugia diingatkan, ia bukan hanya melibatkan AUKU sahaja, ia juga melibatkan 2 perundangan yang lain.

Alasan 28:
Pindaan AUKU 2009 telah memberikan kebebasan yang secukupnya. Apa lagi yang dikehendaki?
Jawapan 28:
Ini alasan daripada orang yang telah putus hubungannya dengan gerakan mahasiswa. Bagi mereka yang rapat dan akrab dengan gerakan mahasiswa, yang rajin turun kampus, yang selalu berdialog dengan mahasiswa, yang sering berforum dengan pembangkang di kampus, ia akan tahu bahawa pelaksanaan AUKU 2009 masih perlu ditingkatkan. Karenah sesetengah pegawai IPT dalam melembabkan sudut pidato dan permohonan aktiviti pelajar adalah antara bukti-buktinya. Dalam hal ini, Hal Ehwal Pelajar IPT perlu mempunyai hala tuju baru. Ini saya sentuh dalam buku saya, Kalau Saya Mahasiswa dan dalam banyak ucapan saya. Jawapan kepada soalan “apa lagi yang dikehendaki”, ialah untuk memenuhi hak pelajar yang dijamin oleh Perlembagaan dan untuk mematangkan demokrasi. Kedua-dua perkara ini tidak terdapat dalam AUKU Pindaan 2009. Orang yang menyoal soalan ini ternyata tidak fahampun apa yang disoalnya itu.

Alasan 29:
Ibu bapa tidak benarkan anaknya menjadi ahli parti politik.
Jawapan 29:
Ada ibu bapa yang membenarkan. Ini bukan soal semua ibu bapa. Sesiapa yang tidak membenarkan, itu haknya. Sesiapa yang membenarkannya. Itu juga haknya.

Alasan 30:
Kerajaan membelanjakan wang yang banyak untuk setiap individu pelajar. Janganlah membazirkan wang kerajaan.
Jawapan 30:
Kerajaan membelanjakan lebih banyak wang untuk pelajar yang belajar di luar negara. Tetapi, di sana, mereka dibenarkan menjadi ahli Kelab UMNO. Ini tidak membazir? Sayugia diingatkan bahawa ini bukan wang kerajaan, tetapi adalah wang rakyat yang diuruskan oleh kerajaan.

FAEDAH PENSYARAH/PELAJAR IPT DIBENARKAN BERPOLITIK

Sebenarnya, faedah yang paling besar ialah memenuhi hak dan mematangkan demokrasi. Faedahnya ialah dalam menyertai perjalanan dan perjuangan yang panjang dan berliku-liku itu. Maksudnya, ia bukan sangat persoalan faedah, tetapi adalah persoalan kaedah. Namun, sekadar untuk menjelaskan falsafah ini, maka, disenaraikan beberapa faedah praktis seperti berikut:

- Pensyarah adalah ilmuwan, manakala pelajar memiliki ilmu. Partisipasi mereka dalam politik akan menambahbaik budaya politik melalui amalan politik ilmu dan memperkaya amalan demokrasi.

- Partisipasi pensyarah dan pelajar dalam politik adalah bertepatan dengan prinsip budaya ilmu (Wan Mohd Nor Wan Daud), iaitu: meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling tinggi (dalam setiap bidang yang baik seperti politik); setiap orang sentiasa menuntut, membangun dan menyebar ilmu (seperti ilmu politik); dan setiap keputusan dibuat berdasarkan ilmu (seperti penyelidikan politik yang dilakukan oleh pensyarah dan pelajar).

- Ia akan meningkatkan kesedaran politik di kalangan pelajar. Maka, tidak perlulah lagi menggunakan cara-cara yang pelik untuk menggalakkan mereka mendaftar sebagai pemilih dan mengundi.

- Ia akan memperkaya idealisme pelajar. Malahan, ia akan dapat menterjemahkan idealismenya dalam bentuk aktivisme yang lebih meluas.

- Ia menyediakan peluang pendidikan politik yang lebih luas untuk pelajar.

- Ia akan memperkaya proses pembangunan pelajar, iaitu dari segi kepemimpinan, capacity building, self esteem dan sebagainya.

- Ia memenuhi maksud penghakupayaan belia yang lebih komprehensif.

- Ia akan merapatkan jurang generasi antara pelajar dengan masyarakat di luar kampus.

- Ini adalah keputusan politik yang berasaskan keazaman politik (political will) yang amat penting untuk mengembalikan atau meningkatkan keyakinan pensyarah dan pelajar terhadap keterbukaan kerajaan, keseriusan kerajaan dalam mematangkan demokrasi, dan kepercayaan kerajaan terhadap mereka.

KESIMPULAN

Kebenaran untuk pensyarah memegang jawatan politik dan pelajar menjadi ahli parti politik adalah subset kepada perjuangan yang lebih besar, iaitu mematangkan demokrasi dengan meningkatkan dan meluaskan partisipasi rakyat, khususnya belia dan pelajar, dalam struktur dan proses membuat keputusan.
____________
Putrajaya
27 Ogos 2010

Dato' Saifuddin Abdullah